SEJARAH PEMBANGUNAN SEKOLAH

SEJARAH PEMBANGUNAN SEKOLAH

ASAS PEMBINAAN

            Sekolah ini mula dibina pada tahun 1979 dan siap pada tahun 1982. Komplek sekolah ini terletak di Kampung Sg Nipah, Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam, Selangor, kira-kira 12 kilometer dari pekan Sungai Besar. Mula digunakan untuk persekolahan pada bulan Januari 1982

            Pada tahun 70an, Bahagian Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor merancang untuk membina Sekolah Menengah Vokasional di Selangor dengan pembiayaan Bank Dunia. Kawasan yang dikenalpasti adalah antara Pekan Sabak Bernam dan  Pekan Kuala Selangor  untuk tapak sekolah tersebut. Hasil perbincangan dengan Majlis Tindakan Daerah dan wakil-wakil rakyat tempatan, satu kawasan di Kampung Sungai Nipah, Simpang Lima seluas 19.75 ekar telah dipilih sebagai tapak untuk pembinaan. 

            Pemilihan tapak tersebut adalah berdasarkan beberapa faktor seperti; tanah tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri yang belum dibangunkan dan kewujudan sebuah sekolah vokasional pastinya dapat membantu menggiatkan serta  memodenkan lagi sektor pertanian di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, apabila sekolah ini dibuka, ia merupakan sebuah sekolah menengah biasa, bukan sekolah menengah vokasional pertanian sepertimana yang dirancang. 

            Hal ini terjadi atas sebab-sebab ::

 

  1. Minat penduduk setempat terhadap subjek vokasional dan potensinya kurang mendapat tempat di hati mereka menyebabkan tiada pendaftaran masuk ke sekolah ini.

  2. Rayuan penduduk Kg Sungai Nipah dan sekitar pekan Simpang Lima agar sekolah ini ditukar kepada sekolah menengah biasa kerana anak-anak mereka terpaksa bersekolah di SMK Sg. Besar / SMK Dato' Mustapha, Pasir Panjang yang terletak kira-kira 11 hingga 13 km dari rumah mereka . Sekolah tersebut pula mempunyai masalah kesesakan pelajar. 

Asal usul nama Pekan Simpang Lima dipercayai berpunca dengan wujudnya lima simpang ini.

 

 

i  

Simpang jalan masuk ke SMKASL melalui Pekan Simpang Lima

 

 

Pekan Simpang Lima dari jalan besar.

    

            Setelah rayuan tersebut diterima, sekolah tersebut beroperasi sebagai sebuah sekolah menengah biasa dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Lima.Sekolah ini berlangsung hanya selama 6 tahun sahaja apabila ia ditukar lagi kepada sekolah menengah agama dalam tahun 1988.

 

 

 penukaran nama sekolah

                

         Mulai 1988, nama sekolah ini telah ditukar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Lima kepada nama ia sekarang, iaitu SMKA Simpang Lima. Sekolah ini ditukar secara berperingkat menjadi sekolah menengah kebangsaan agama berasrama. Cadangan ini diterima oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (ketika itu) dan Jabatan Pendidikan Selangor atas cadangan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam dan dikuatkan lagi dengan sokongan PIBG sekolah ini. Keputusan tersebut menggembirakan lagi penduduk setempat dan umumnya penduduk Daerah Sabak Bernam. Alasan yang dikemukakan bagi cadangan tersebut ialah:-  

 

bulletRamai murid lepasan tahun enam yang cemerlang atau baik keputusannya dalam daerah Sabak Bernam tercicir dari        memasuki sekolah berasrama penuh yang ada kerana sebab-sebab tertentu.

 

bulletKebanyakan sekolah berasrama penuh terletak jauh dari Sabak Bernam dan Tanjung Karang menyebabkan keluarga pelajar  merasa terbeban untuk sentiasa dapat melawat mereka

 

bulletIbu bapa semakin cenderung untuk menghantar anak mereka ke sekolah menengah agama, walhal bilangannya terhad di kawasan luar bandar, terutamanya sekolah menengah agama yang ada kelas menengah atas dan berasrama.

 

bulletUntuk membina sebuah sekolah menengah kebangsaan agama berasrama penuh memerlukan kos yang tinggi.maka, bangunan sekolah ini sesuai untuk penjimatan kos.

 

bulletOleh kerana tanah sekolah cukup luas, maka hasrat untuk membina sekolah menengah agama dapat dilaksanakan dan kos dapat dikurangkan (kos pembinaan asrama dan bangunan sekolah sahaja).

        Pengambilan pertama bagi SMKA Simpang Lima ini dibuat dalam tahun 1988 dengan kemasukan seramai 112 orang pelajar tingkatan satu dan ditempatkan di asrama-asrama yang menggunakan bilik-bilik darjah yang diubahsuai. Urusan pemilihan dan kemasukan mereka diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Unit Pendidikan Islam berdasarkan kecemerlangan pencapaian mereka dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Mereka belajar bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Lima yang sedang meneruskan persekolahan mereka sehingga tamat di tingkatan lima pada tahun 1991.

   Pada tahun 1992, 4 (empat) buah blok asrama khas setinggi 3 tingkat telah dibina bagi menempatkan para pelajar yang selama ini ditempatkan di dalam bilik-bilik darjah yang diubahsuai. Sebuah dewan makan juga dibina sekali bagi melancarkan lagi pengurusan asrama..

   Sesudah itu, dengan berkat kegigihan ahli jawatankuasa PIBG sekolah dan masyarakat setempat serta masyarakat umum, sebuah surau yang sederhana besar memuatkan kira-kira 500 orang pelajar dapat dibina di kawasan sekolah. Kewujudan surau tersebut telah dapat menambahkan lagi kelancaran aktiviti pelajar terutama aktiviti dan urusan keagamaan serta kerohanian.

   Pada tahun 1998, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui RMK 6 telah meluluskan suatu peruntukan pembinaan satu blok bangunan sekolah 3 tingkat  dan 2 blok bangunan asrama setinggi 3 tingkat untuk pelajar putera dan puteri, sebuah lagi dewan makan, sebuah tangki air dan dua buah gelangang permainan serbaguna bagi menambahbaikkan lagi pengurusan dan pentadbiran serta kecemerlangan SMKA Simpang Lima. Kewujudan blok-blok asrama baru tersebut sesungguhnya telah melegakan banyak pihak, khusus para pelajar sendiri yang selama ini tinggal secara agak bersesak. Kini mereka di tempatkan secara lebih selesa dalam blok-blok bangunan asrama yang baru. Selain dari itu, pihak PIBG juga telah menguruskan pembinaan sebuah lagi surau untuk pelajar puteri dan akhirnya dapat dibina dan digunakan dalam tahun 2000.

 

 

Blok asrama baru yang dibina bersebelahan blok lama.

 

 

 

Blok asrama baru dari arah belakang. 

Nun di hujung merupakan blok asrama 

puteri

(Dicat semula pada 2001)

   Dari sudut akademiknya SMKA Simpang lima telah mewujudkan pembelajaran tingkatan 6 sejak tahun 1993 di mana anak sulung sekolah ini telah mula memasuki universiti-universiti tempatan dan luar negara mulai tahun 1995 hinggalah sekarang.

   SMKA Simpang Lima terus maju dan berkembang dengan penuh kecemerlangan.

        Selamat maju jaya dan semoga terus gemilang.

14 Mei 2003

 

 

| HOME |